Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sendiri akan membawa hasrat tersebut ekoran permintaan tangga gaji sedia ada dikaji semula.

Tambah Ahmad Zahid, meskipun berdepan kemungkinan sektor lain akan turut menuntut perkara sama, namun demi profesion perguruan, beliau tetap akan membawa perkara tersebut Jumaat ini.

“Kabinet akan bersidang Jumaat ini. Saya berjanji akan bawa hasrat cikgu-cikgu ini. Secara rasionalnya, bila minta naik gred guru besar, sektor lain yang turut mempunyai tangga gaji serupa pun akan minta perkara sama. Kita akan tengok semuanya, tapi beri keutamaan pada cikgu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konven­syen Perdana dan Persidangan Perwakilan Majlis Guru Besar Negeri Perak Kali Ke-30 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan; Menteri Besar, Datuk Seri. Dr. Zambry Abd. Kadir; Yang Dipertua Majlis Guru Besar Negeri Perak, Rustam Affandy Abdul Aziz dan Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Mat Lazim Idris.

Sementara itu, terdahulu, dalam ucapannya, Rustam Affandy memohon supaya gred jawatan pentadbir-pentadbir di sekolah rendah khusus guru besar dan penolong kanan disamatarafkan dengan pentadbir di pe­ringkat sekolah menengah.

Kata beliau, ketika ini jika seorang guru dilantik ke jawatan guru besar sekolah rendah, beliau akan terus kekal di gred jawatan yang disandang DG34 dan hanya diberikan Elaun Guru Besar sebanyak RM200 sebulan.

Tambah beliau, keadaan sama juga berlaku kepada guru biasa yang dilantik ke jawatan penolong kanan di sekolah rendah apabila hanya diberi elaun bulanan sebanyak RM60 tanpa perubahan gred jawatan iaitu DG32

“Situasi ini amat berbeza de­ngan rakan-rakan kami pengetua di sekolah menengah. Seorang guru yang dilantik ke jawatan itu akan menerima perubahan gred daripada DG48 ke gred DG52 dan ditambah elaun pengetua sebanyak RM300.

“Begitu juga guru yang dilantik penolong kanan sekolah mene­ngah. Mereka yang dilantik akan dinaikkan dari gred DG44 ke gred DG48,” katanya.