Menurut sumber, mesyuarat Kabinet itu turut mendapat penjelasan daripada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengenai pelaksanaan cukai berkenaan.

Penjelasan tersebut telah di­terima dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Perdana Menteri memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa beliau akan bertemu sendiri dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dalam masa terdekat.

“Pertemuan tersebut bertujuan untuk berbincang dan menyelesaikan isu berkenaan," kata sumber tersebut kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Minggu lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa kerajaan supaya menangguh pelaksanaan cukai pelancong di Sabah dan Sarawak kerana khuatir cukai baharu itu akan membawa kesan kepada industri pelancongan.

Gesaan menteri baharu Sarawak itu diselar Mohamed Nazri yang menganggap Abdul Karim sebagai menteri ‘setahun jagung’ dan diminta tidak berlagak samseng.

Mohamed Nazri baru-baru ini memaklumkan, pelaksanaan cukai pelancongan akan tetap dite­ruskan bermula 1 Julai ini yang menyaksikan pelanggan membayar sehingga RM20 satu malam untuk sebuah bilik hotel bertaraf lima bintang.

Isu cukai pelancongan menjadi perbahasan apabila ada pihak yang meminta cukai tersebut hanya dikenakan kepada pelancong asing dan tidak melibatkan pelancong tempatan.

Mohamed Nazri yang dihubungi bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan.