Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ada pihak yang menganggap Ka Chuan digugurkan sebagai calon sedangkan penyandang kerusi Tanjung Malim itu sendiri yang menyatakan hasrat untuk berundur bagi memberi peluang kepada orang muda bertanding di kerusi tersebut.

“Beliau telah menyatakan hasrat dengan seikhlas hati untuk berundur dan bersara serta memberi peluang kepada orang muda untuk bertanding di situ.

“Tiada isu mengenainya, tapi kami di MCA mengambil maklum mengenai perasaan kecewa para penyokong dan pengikut Ka Chuan apabila beliau tidak dicalonkan. Tetapi sekiranya mereka tahu itu sebenarnya adalah kehendak Ka Chuan saya yakin perkara ini boleh diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Santai Segar Cintai Sungai Kita Parlimen Bentong di Pulau Santap, Janda Baik di sini hari ini.

Semalam, terdapat pihak tertentu yang berhimpun di Putrajaya bagi membantah keputusan Barisan Nasional (BN) tidak mencalonkan Ka Chuan pada PRU-14.

Kerusi Parlimen sebelum ini disandang oleh Ka Chuan dan pada PRU-14 kerusi tersebut bakal ditandingi oleh Pengerusi MCA Perak, Datuk Mah Hang Soon. - UTUSAN ONLINE