Ketua Pengarahnya, Dr Zainah Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memudahkan penyelidikan dijalankan ke atas kapal karam yang ditemui di dasar laut pulau itu pada 2012.

Untuk itu, JWN akan mengadakan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Selagi tiada penyelidikan khas dilaksanakan, kita tidak akan dapat menentukan siapa pemilik kapal atau jenisnya dan sehingga kini proses penentuan usia sebenar kapal itu masih berjalan.

"Proses pewartaan bukanlah sesuatu yang mudah, lazimnya mengambil masa antara enam hingga 18 bulan," kata beliau.

Pewartaan itu selaras dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) Seksyen 64 (1).

"Melalui kepakaran dan kemahiran dimiliki UMT, sudah pasti penyelidikan saintifik ini akan menemui data dan maklumat terperinci yang lebih berharga dan akan mempercepatkan proses pewartaan ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Jabatan Warisan Negara dengan UMT di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr. Nor Aeini Mokhtar dan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Profesor Emeritus Dr. Noor Azhar Shazili.

Mengulas lanjut, Dr. Zainah berkata, kerjasama itu telah bermula seawal September tahun lalu yang berjaya mengumpul data awal seperti data kederasan arus air dan sampel sedimen dasar laut.

"Objektif utama MoU ini adalah untuk mengukuh dan membangunkan kerjasama dalam bidang penyelidikan bawah laut yang akan memberi manfaat terhadap perkongsian sumber dan data yang sangat berharga untuk warisan negara," katanya.

Ditanya sama ada pewartaan Pulau Bidong sebagai Zon Yang Dilindungi itu akan menjejaskan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan pulau itu sebagai lokasi tumpuan pelancong, Dr. Zainah berkata, pewartaan hanya boleh dilakukan dengan izin kerajaan negeri.

"Pewartaan tidaklah menghalang pembangunan," katanya.

Kapal karam itu ditemui pada Mac 2012 oleh seorang nelayan tempatan yang secara tidak sengaja terkail bahan-bahan dari kapal itu di perairan pulau tersebut.

Antara barangan yang ditemui ialah pasu, barang tembikar dan seramik, set pinggan mangkuk dan cawan.

Hampir 40 penyelidik dari JWN dan UMT dijangka terlibat dalam pelbagai kajian saintifik ke atas kapal karam itu bermula Mac depan. - BERNAMA