LIOW TIONG LAI
LIOW TIONG LAI

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata,peraturan berkenaan mendapat kebenaran kabinet kira-kira dua minggu lepas dan telah diserahkan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk diwartakan sebelum dikuatkuasakan.

“Saya telah arahkan (DCA) untuk memperincikan peraturan ini, dijangkakan peraturan ini akan selesai digazetkan dan akan dikuatkuasakan dalam masa kira-kira sebulan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Muzik Klang di sini hari ini.

Laporan akhir nahas helikopter Eurocopter AS350 yang terhempas di Batang Lupar berhampiran Sebuyau, Sarawak pada Mei tahun lalu menyebut ia disebabkan keadaan cuaca buruk dan juruterbang yang tidak biasa dengan kawasan persekitaran.

Dalam laporan akhir itu, Kementerian Pengangkutan ada mencadangkan agar juruterbang helikopter asing agar menjalani latihan untuk membiasakan diri selama 10 jam sebelum dibenarkan beroperasi secara bersendirian.

Tambah beliau peraturan berkenaan bukan bertujuan untuk menyukarkan juruterbang asing bekerja di sini tetapi ia adalah untuk tujuan keselamatan.

“Kami mengalu-alukan kehadiran mereka tetapi keadaan muka bumi dan cuaca di sini terutamanya di Sabah dan Sarawak adalah berlainan, juruterbang tidak boleh hanya bergantung kepada sistem kedudukan global sahaja, juruterbang perlu tahu laluan alternatif lain sekiranya laluan asal mengalami cuaca buruk.

Juruterbang perlu tahu di mana kawasan yang sesuai untuk mendarat sekiranya perlu berbuat demikian, peraturan ini bukan untuk menyukarkan mereka (juruterbang asing) tetapi untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

Kejadian pada 5 Mei tahun lepas, mengorbankan enam orang termasuk juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Rapas, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Noriah Kasnon dan ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad.- BERNAMA