Pengarah Urusan Carlsberg Malaysia, Lars Lehmann berkata, jurujual wanita itu menghargai kata semangat dan sokongan yang diterima daripada semua pihak namun meminta hak privasinya dihormati dengan tidak menyebarkan gambar, video dan maklumat peribadinya.

“Pihak kami berbangga dengan cara jurujual tersebut berhadapan dengan situasi sukar itu dan menawarkan sokongan sebaik sahaja dia melaporkan insiden itu.

“Bagaimanapun, kami menghormati keputusannya untuk tidak lagi memanjangkan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lars menegaskan, aktiviti pemberian sampel minuman keras hanya melibatkan orang bukan Islam dengan had umur yang dibenarkan sahaja.

“Kami amat kecewa jurujual itu diganggu ketika menjalankan tugasnya mengikut peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, lelaki yang mengganggu jurujual dengan mengeluarkan kata-kata kesat itu telah memohon maaf dalam video yang tular sejak malam tadi.

Menerusi video berdurasi 45 saat tersebut, lelaki yang dikenali sebagai ‘Edi Rejang’ itu memohon maaf kepada jurujual wanita terbabit dan mengakui kesalahan yang dilakukannya.

“Saya ingin buat permohonan maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia terutama kepada ‘promoter’ perempuan terbabit. Saya akui kesalahan saya dan amat menyesal di atas tindakan saya terhadap ‘promoter’ itu,” katanya.

Terdahulu, dalam video berdurasi 45 saat itu, gadis yang sedang memberikan sampel minuman keras di bahagian tidak ditanggung halal diganggu oleh seorang lelaki yang dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur perkauman.

Individu berkenaan mempertikaikan tindakan gadis tersebut memberikan sampel minuman keras dan mendakwa sampel itu diberikan kepada semua pelanggan termasuk yang beragama Islam.

Bagaimanapun, wanita itu menafikan dakwaan berkenaan sebelum individu berkenaan kemudian mendesak jurujual terbabit menggunakan bahasa Melayu dan menunjukkan isyarat lucah. - UTUSAN ONLINE