Pengarah Penyiaran negeri, Noriani Mohd Idris berkata, sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) secara rasmi berpihak kepada Pakatan Harapan (PH), juruhebah berjaya memastikan kandungan persembahan mereka selari dengan kerajaan baharu.

“Banyak program kita terpaksa diolah semula kerana pertukaran kerajaan tetapi barisan juruhebah kita sentiasa ke hadapan.

“Saya cukup kagum, hari ini bila Pakatan Harapan ambil alih (kerajaan) esoknya ada program (radio) baharu yang mempunyai roh perjuangan Pakatan Harapan, kita menjadi media yang semakin terbuka sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis berbuka puasa sempena program Jelajah Ramadan 2018 anjuran Jabatan Penyiaran Kelantan di Hotel Perdana, di sini malam ini.

Pada majlis itu seramai 40 anak yatim dari Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim) telah diraikan.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Rohban Trade Sdn. Bhd., Shah Rizal Ibrahim; Pengurus Cawangan Perodua Sales Sdn. Bhd., Ariff Ambia Che Udin dan wakil dari Eniq World Sdn Bhd selaku penaja utama program.

Sementara itu, Noriani berkata, program Jelajah Ramadan dilaksanakan Jabatan Penyiaran dengan kerjasama pihak swasta di seluruh negara dari 15 Mei hingga 8 Jun ini. - UTUSAN ONLINE