Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, penambahan jumlah perjalanan itu juga mampu membawa 1,500 penumpang untuk menyeberangi kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara yakin apabila siap kelak, perkhidmatan rel itu dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor. Ia akan bermula pada pertengahan tahun ini dan mampu meningkatkan jumlah purata penumpang yang ada iaitu 5,500 setiap hari.

“Kesesakan yang sering berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) mampu dilakukan dengan lebih mudah dan cepat dengan penambahan ini,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan berkata, Singapura bersetuju untuk mengkaji semula sistem Garis Panduan Perintis Selat Timur Johor (EJS).

Katanya, ia bertujuan melonggarkan sekatan trafik maritim operasi malam kapal-kapal di perairan Singapura.

“Pada masa ini, Garis Panduan Perintis EJS membenarkan kapal lebih daripada 240 meter panjang untuk mengangkut di Selat hanya pada waktu siang.

“Setiap tahun, 6,000 kapal transit di Selat memasuki Pelabuhan Johor, Terminal Pelabuhan Tanjung Langsat dan kemudahan pelabuhan lain di Pelabuhan Pasir Gudang,” katanya. - UTUSAN ONLINE