Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhari Ya­kub berkata, jumlah tersebut me­nunjukkan peningkatan berbanding yang dicatatkan pada tahun sebelumnya iaitu seramai 280,000 pesakit.

Katanya, jumlah pesakit jantung di negara ini meningkat an­tara lima hingga tujuh peratus setiap tahun.

“Peningkatan ini amat membimbangkan memandangkan pe­n­yakit jantung merupakan pembunuh nombor satu di negara ini. Ia bukan sahaja melibatkan golongan berusia malah golongan muda seawal usia 20-an.

“Oleh itu, setiap orang perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan bertanggungjawab ke atas diri sendiri dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan sejak awal,” katanya ketika ditemui selepas keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke program Pemeriksaan Jantung dan Kesihatan Rakyat anjuran IJN di Dewan Jubli, di sini hari ini.

Keberangkatan baginda ke program kemasyarakatan oleh sukarelawan IJN itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut hadir Pengerusi Ja­watankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd. Yazid dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal.

Dalam program berkenaan, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara melawat gerai pemeriksaan kesihatan secara per­cuma dan klinik berge­rak IJN selain Tuanku Zara me­luangkan masa menjalani pe­meriksaan tekanan darah.

Program tersebut merupakan anjuran bersama kerajaan ne­geri, Kor Kesihatan Diraja, Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) dari Kementerian Kewangan dan Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kangsar.

Mengulas lanjut beliau berkata, pesakit jantung biasanya terdiri dalam kalangan mereka berusia lingkungan 50-an di mana antara punca penyakit itu disebabkan tidak menjaga pemakanan, obesiti, merokok dan diabetes.

Katanya, penyakit terpaksa ditanggung pada lewat umur itu berikutan tidak menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat semasa muda.

“Ini yang ingin kita tekankan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tidak hanya di kawasan bandar tetapi di luar bandar untuk memberi pemantauan dan penjagaan kesihatan diri dari awal lagi,” katanya.