Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, keperluan bayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion bagi tempoh dari 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 itu telah dilaporkan dalam Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan namun jumlah penuh tidak dipindahkan.

“Daripada keperluan pembayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion yang telah dilaporkan, hanya RM63.5 bilion pembayaran balik GST telah dibayar melalui Tabung Amanah bagi sepanjang tempoh yang sama.

“JKDM (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) ada menuntut RM82.9 bilion daripada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan ini untuk tujuan pembayaran balik GST dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 tetapi jumlah penuh tidak dipindahkan ke Tabung Amanah.

“Oleh itu, pada 31 Mei 2018, Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar beliau, semua kutipan GST dimasukkan dalam Kumpulan Wang Bersatu Kerajaan Persekutuan yang kemudiannya akan dipindahkan kepada Tabung Amanah yang diwujudkan di bawah Seksyen 54 Akta Cukai dan Barang Perkhidmatan 2014 untuk membolehkan pembayaran balik GST dapat dilaksanakan.

Beliau memberitahu, jumlah keperluan bayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion diperoleh berdasarkan Borang GST-03 (untuk menuntut bayaran balik GST) yang telah difailkan ke dalam sistem GST JKDM oleh pembayar cukai.