Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sekiranya jumlah penjawat awam seramai 1.7 juta ketika ini tidak dikawal, kos perbelanjaan me­ngurus akan mengambil sebahagaian besar belanjawan negara setiap tahun.

“Ini juga menyebabkan pertumbuhan ekonomi perlahan berikutan ketidakmampuan kerajaan berbelanja untuk projek-projek pembangunan yang menjana kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial negara,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Perta­nyaan Menteri pada persida­ngan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin tahu rasional cadangan mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan berpendapat jumlah penjawat awam boleh dikurangkan tanpa menjejaskan prestasi penyampaian khidmat, punca pendapatan pegawai yang terlibat dan peluang pekerjaan.

“Strategi Dasar Penswastaan yang diperkenalkan pada 1983 masih relevan untuk digunakan bagi menangani isu jumlah anggota perkhidmatan awam dengan menumpukan kepada peningkatan produktiviti dan penggunaan sumber tenaga secara optimum,” katanya.

Kerajaan juga akan memastikan mereka yang terbabit disediakan peluang pekerjaan di sektor ekonomi lain sebelum pengecilan saiz perkhidmatan dilakukan, dengan menyediakan pelan holistik bagi menjamin transisi itu tidak memberi kesan kepada perjalanan atau pengurusan negara.

Selain itu, Dr. Mahathir berkata, peningkatan perbe­lanjaan kerajaan juga berlaku berikutan tindakan pimpinan terdahulu yang cenderong menaikkan gaji penjawat awam dalam usaha untuk membeli kesetiaan mereka, sekali gus menaikkan kos sara hidup.

“Kita dapati bahawa kerajaan yang baru hilang kuasa ini me­nubuhkan bermacam badan dan beri gaji yang cukup besar sama seperti gaji swasta sehingga ada dapat puluhan ribu sebulan. Itu yang menyebabkan kos meningkat.

“Semua itu akan dihapuskan dan kerana gaji mereka terlalu tinggi dan khidmat mereka tidak diperlukan. Kononnya mereka nak membantu ekonomi negara, tetapi tidak nampak kesannya jadi badan-badan ini kita akan hapuskan. Menambah jawatan pasal nak bagi tempat pada ahli politik itu bukan cara kita,” katanya.

Justeru beliau mahu penekanan diberi kepada peningkatan produktiviti dan bukan semata-mata tunduk kepada tekanan atau atas dasar membeli kesetiaan untuk menaikkan gaji.

Menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang menganggap Dr. Mahathir menghina penjawat awam kerana mendakwa kenaikan gaji penjawat awam diberikan sebagai usaha membeli kesetiaan, Dr. Mahathir berkata, perkara itu terbukti apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan dilihat berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lepas.

“Bagi kita apabila perlu kita tambah kakitangan, kenaikan gaji kakitangan kita akan teliti tindakan itu supaya tak jejaskan kewangan negara,” kata­nya. – BERNAMA