Rancangan itu dimaklumkan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, selepas beliau mengadakan mesyuarat rasmi bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang bertujuan mencari jalan mening­katkan kecekapan operasi pe­ngendalian kontena di pelabuhan di negara ini.

Menurut Johari, pemasa­ngan tambahan mesin pengimbas kontena itu akan membolehkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat pemeriksaan muatan barangan dengan lebih cepat dan berkesan tanpa menjejaskan aktiviti perniagaan para syarikat pengimport dan pengeskport.

“Di Pelabuhan Klang sebagai contoh, kita ada menerima rungutan daripada syarikat pengimport dan pengeksport yang mengatakan operasi pelabuhan ini kurang efisien kerana kita mengenakan pemantauan tegas hingga menjejaskan perniagaan mereka.

“Kita tidak nafikan penguatkuasaan yang dijalankan untuk membanteras penyeludupan serta kemasukan barangan larangan tanpa permit import dan kelulusan JKDM. Mungkin penguatkuasaan itu mengambil tempoh yang agak lama sehingga menyebabkan berlaku kelewatan.

“Bagaimanapun, kita akan menangani perkara ini dengan menambah lagi bilangan mesin pengimbas bagi mempercepatkan proses pemantauan dan pemeriksaan ke atas muatan yang dibawa masuk ke negara ini,” katanya di Wisma JKDM Selangor, Pulau Indah di sini hari ini.