Baginda bertitah, jika bermaksud begini, sudah pasti komitmen akan menjadi longgar dan tidak kekal lama.

“Apa yang penting ialah komitmen individu yang telah menyahut cabaran ini mestilah jujur dan dengan rela hati ingin berbakti kepada ibu pertiwi,” titah baginda ketika berkenan mencemar duli pada Majlis Santapan Malam Rejimental Ke-10, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) 2017 di Pusat Konvensyen dan Hotel TH Hotel di sini malam tadi.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro-Canselor Unimap.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr. Mohd. Sofi Osman dan Naib Canselor Unimap, Kolonel (Kehormat) Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Baginda yang juga Canselor Unimap dan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah, untuk berada dalam situasi ‘menang-menang’, apa yang perlu disemat dalam fikiran setiap anggota Askar Wataniah itu ialah ‘jika tidak boleh buat semua, janganlah ditinggalkan semua’ aktiviti yang telah ditetapkan dalam skim latihan.

“Ini adalah kerana untuk memahirkan seseorang anggota Askar Wataniah itu, kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak, justeru sangat rugi sekiranya seseorang itu tidak memberi komitmen yang sepatutnya atau melakukannya secara sambil lewa," titah baginda.

Sebanyak 120 orang Pegawai Kadet Palapes Unimap telah berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Wataniah baru-baru ini.

Para penerima anugerah pegawai kadet terbaik pada tahun ini disandang oleh Leftenan Muda Lai Ning Jing (Keseluruhan), Leftenan Muda Nur Hikmah Abdul Rasid (Ketenteraan), Leftenan Muda Yew Lie Jie (Akademik Diploma) dan Leftenan Muda Low Yong Chin (Akademik Ijazah). - UTUSAN ONLINE