Timbalan Mente­ri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Ismail Abd.Muttalib berkata, bermula tahun ini, semua pejabat negeri dan cawangan akan menghantar surat pekeli­ling mengenainya yang dikeluarkan pada 21 Disember lalu.

“Pemeriksaan berkanun itu memfokuskan kepada isu larangan pekerja wanita Islam memakai tudung di tempat kerja yang menjadi isu hangat pelbagai pihak akhir tahun lepas.

“Semua laporan dan tindakan  pemeriksaan oleh pejabat ne­geri dan cawangan itu khususnya berkaitan polisi larangan bertudung perlu dihantar secara berkala ke Ibu pejabat JTK pada 7 Februari depan,” kata beliau.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam bertajuk Peraturan larangan memakai tudung masih berleluasa selepas Program Santai Anak Muda di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman.

Sebelum ini pada November lalu, Utusan Malaysia mendedahkan kenyataan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia MAH, Samuel Cheah Swee Hee bahawa dasar larangan bertudung di bahagian depan diamalkan rangkaian hotel antarabangsa menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Kenyataan itu dise­lar beberapa menteri termasuk Menteri ­Pelan­congan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkan lara­ngan itu sebagai kurang ajar.

Sementara itu, Majlis Perhubu­ngan Rangkai­­an Kesatuan Se­kerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) turut akan mendedahkan nama-nama hotel yang melarang pemakaian tudung kepada wanita Islam yang mahu be­kerja dalam industri perhotelan.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, kenya­taan itu secara terbuka telah mengamalkan polisi yang melanggar Akta Pekerja dan Perlembagaan.

Menurut Ismail lagi, pemeriksaan penguatkuasaan di hotel dan resort itu juga bertujuan memastikan pihak terbabit mematuhi undang-undang perburuhan di negara ini.

“Tindakan sama ada teguran, amaran atau pendakwaan akan diambil jika didapati pihak majikan melakukan pelanggaran mana-mana peraturan dan undang-undang perburuhan negara.

“Kementerian Sumber Manusia menasihatkan majikan supaya menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan selaras dengan peruntukan Perkara 3 dan 6 Perlembagaan,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan pekerja wanita teraniaya untuk hadir ke JTK atau Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Bagaimanapun ujarnya, pekerja terbabit diingatkan perlu mengelak membuat tindakan yang tidak sepatutnya seperti tidak hadir be­kerja melebihi dua hari berturut-turut atau berhenti serta-merta tanpa memberi notis.

“Pematuhan prosedur ini ­penting bagi menjamin hak-hak sebagai pekerja teraniaya apabila berlakunya putus kontrak pekerjaan se­perti yang diperuntukkan di dalam undang-undang.

“Akta berkaitan diterima pakai membela mereka di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265) atau Akta Perhubungan Perusahaan 1960 (Akta 1977),” katanya yang juga Ahli Parlimen Maran.