Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata nilai rampasan yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas meningkat sebanyak 231 peratus berban­ding rampasan tempoh yang sama pada 2017 iaitu sebanyak RM70.4 juta.

“Selain itu, sembilan makmal haram memproses dadah berjaya dibongkar pada suku terakhir tahun lepas dan ia meningkat berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017 iaitu lima buah makmal haram telah dibongkar.

“Kejayaan luar biasa itu me­rupakan penca­paian terbaik yang pernah dicapai oleh JSJN dan u­sa­ha itu kita akan terus pertingkatkan bagi meme­rangi dadah di seluruh negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Me­syuarat Ketua-Ke­tua Jabatan Sia­satan Jenayah Nar­kotik Se-Malaysia 1/2019, di sini hari ini.

Beliau berkata peningkatan prestasi luar biasa yang dicapai oleh JSJN adalah disebabkan adanya keberkesanan risikan dan usaha bersepadu dalam PDRM untuk membanteras pengedaran dadah.

“Walaupun JSJN adalah ja­batan yang bertanggungjawab dalam membanteras dadah namun jabatan-jabatan lain yang ada dalam PDRM juga akan membantu khususnya dari segi pengumpulan maklumat.

“Selain itu, kerjasama de­ngan masyarakat luar juga te­lah membantu usaha memerangi dadah, oleh itu saya berterima kasih kepada pihak luar kerana berani tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat kepada pihak polis kerana maklumat itu akan memudahkan tindakan untuk perangi dadah,” tambahnya.

Mohamad Fuzi berkata pi­haknya juga mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa luar khususnya berkaitan maklumat, latihan dan kemudahan peralatan terutamanya teknologi baharu untuk membuat pengesanan dadah.

Mengulas mengenai me­syuarat itu, beliau berkata persidangan berkenaan akan menjadi platform untuk membincangkan pendekatan baharu serta idea yang lebih revolusioner untuk terus meningkatkan prestasi cemerlang yang dicapai JSJN sebelum ini. – BERNAMA