Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique menegaskan persepsi itu cuba disemarakkan bagi menjejaskan usaha mencorak kehidupan lebih sejahtera bagi masyakarat bandar daripada pelbagai kaum.

Beliau menjelaskan, pemilihan anggota JPP daripada bukan kalangan Ahli Majlis PBT dilakukan secara terperinci dengan keutamaan kalangan mereka yang bergiat aktif dalam pelbagai pertubuhan atau kerja-kerja amal.

“Mereka ini bukan jentera kita. Ada orang tuduh sengaja tubuh JPP sebagai jentera parti dan politik sedangkan ini adalah jentera yang membawa harapan melalui suara masyarakat bandar.

“Ini bukan makanisme kepartian yang diwujudkan untuk kepentingan politik. Cuma persepsi mereka yang tidak bertanggungjawab yang tidak berpuas hati,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Penyampaian Watikah Pelantikan dan Sesi Townhall Bersama JPP Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Di negeri ini, seramai 1,414 anggota JPP telah dilantik bagi penggal kedua untuk tempoh dua tahun iaitu mulai 15 April lalu sehingga 14 April 2019.

Pelantikan terbaharu menjadikan Terengganu mencapai 80 peratus keanggotaan JPP yang lengkap mengikut zon.-UTUSAN ONLINE