PASIR PUTEH 7 Jan. – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bersama beberapa agensi menziarahi keluarga Raja Amirul Mukmin Raja Safari, 13, bersama bantuan untuk meringankan bebanan hidup mereka.
Pengarahnya, Muhammad Zahari Othman berkata, pihaknya menghulurkan bantuan wang tunai, keperluan peralatan kepada Raja Amirul Mukmin dan adiknya, Raja Aiman Hakim, 7, selain keperluan barangan makanan untuk keluarga berkenaan.
Beliau berkata, sumbangan yang dihulurkan itu melibatkan Tabung Kebajikan Murid, Tabung Hari Guru Kelantan, derma daripada Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas JPN serta Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Wanita negeri.
“Saya juga terharu dengan keprihatinan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam yang turut sama menyampaikan bantuan kepada keluarga miskin ini.
“JPN juga berterima kasih kepada semua komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama meringankan bebanan keluarga Raja Safari Raja Ibrahim, 38, yang kini tinggal di reban ayam organik yang diubah suai sebagai kediaman mereka sejak lima tahun lalu,” katanya.
Muhammad Zahari berkata, pihaknya akan berusaha memohon Biasiswa Tengku Anis (BTA) kepada Raja Aiman Hakim agar turut mengikuti jejak abangnya berjaya dalam pelajaran.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sukarela I Care, Muhammad Afiq Sukry yang menghubungi Utusan Online petang ini mengesahkan sebuah kenderaan khas akan membawa keluarga Amirul Mukmin seawal pukul 8 pagi esok bagi menyelesaikan proses pendaftaran awal pelajar baharu di sekolah berasrama penuh tersebut.