Pengarahnya Asrehan Ab Razak berkata antara lokasi yang bakal dikunjungi ialah kawasan perkampungan Orang Asli di pedalaman Kelantan yang didapati masih ramai tidak berdaftar sebagai warganegara.


 "Ini adalah antara usaha JPN bagi memberi kemudahan kepada rakyat terutama golongan yang memerlukan, warga emas, pesakit terlantar, orang kelainan upaya dan pesakit mental dapat menyelesaikan urusan berhubung dokumen pengenalan diri dengan lebih mudah," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Kembara Mobile JPN bersempena Hari Pendaftaran Negara 2018 di Kampung Telok Renjuna di sini, hari ini.


Antara perkhidmatan yang disediakan ialah permohonan dan penukaran MyKid, pembaharuan MyKad dan khidmat nasihat berhubung kepentingan dokumen pengenalan diri.


Dalam program sama, Asrehan bersama kira-kira 20 petugas JPN Kelantan turut berkunjung ke rumah warga emas Salleh Saamah, 99, bagi menyerahkan MyKad baharu kepada warga emas itu.


Beliau berkata kampung Telok Renjuna dipilih sebagai lokasi pertama program tersebut berikutan penduduk berdepan kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.


"Penduduk kampung ini terpaksa menggunakan bot untuk menyeberangi sungai Kelantan selain menaiki kereta sewa untuk ke pejabat JPN. Perkhidmatan secara turun padang ini akan memudahkan mereka menyelesaikan urusan masing-masing berhubung dokumen pengenalan diri," katanya.


Sementara itu, warga emas Awang Dollah, 85 berkata dia tidak melepaskan peluang memperbaharui MyKad apabila pihak JPN menawarkan perkhidmatan secara bergerak tersebut.


Awang berkata keadaannya yang uzur akibat sakit tua menjadi halangan untuknya mengunjungi pejabat JPN bagi memperbaharui MyKadnya.


"Pendekatan ini amat bagus. Kami tidak perlu bersusah payah menaiki bot dan kemudiannya kereta untuk membuat urusan berkaitan MyKad," katanya. - BERNAMA