Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd. Yazid Ramli berkata, rayuan tersebut difailkan oleh pihak­nya menerusi Jabatan Peguam Negara.

Sehubungan itu, katanya, pe­­­­laksanaan semasa di JPN berkaitan penasaban anak tidak sah taraf orang Islam adalah diteruskan seperti sedia ada.

“Sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Yazid berkata, Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuat keputusan ba­­­hawa di bawah undang-undang Islam adalah tidak dibenarkan untuk kanak-kanak dibinkan de­ngan nama orang yang mengaku diri sebagai bapa.

Jelasnya, ini memandangkan kanak-kanak telah dilahirkan kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan ibu bapa.

“Oleh itu, tindakan yang dilakukan oleh JPN adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya.

Mahkamah Rayuan semalam berpendirian, anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah kini layak di sisi undang-undang untuk berbinkan nama bapanya.

Keputusan penting itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mah­ka­mah Tinggi yang menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya.

Mahkamah berpendirian, Ke­­­­tua Pengarah JPN selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.

Ibu dan bapa kanak-kanak itu (perayu kedua dan perayu ketiga), kedua-duanya beragama Islam bernikah pada 24 Oktober 2009. Kanak-kanak lelaki itu lahir pada 17 April 2010 iaitu lima bulan dan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari menurut kalendar Qamariah Islam).