Pengarahnya, Mohd Nasir Kareem memberitahu, di bawah program  Mobile Ehsan itu, fokus diberikan kepadaa kalangan orang kelainan upaya (OKU), warga emas yang uzur dan pesakit terlantar seperti Rosiana di samping anaknya yang lembam dan adiknya yang cacat mental.

“Kita mengambil pendekatan tidak hanya tunggu di jabatan kita, sebaliknya kita yang turun kepada rakyat yang memerlukan perkhidmatan kita,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Rosiana, hari ini.

Mohd Nasir berkata, selain membantu Rosiana, JPN Terengganu juga membantu adik Rosiana, iaitu Rohaimi, 35, yang mengalami kecacatan mental untuk turut memperbaharui Mykadnya.

Tambahnya, sebaik sahaja Mykad mereka siap, JPN akan membawa kad berkenaan kepada pemohon dan seterusnya menyediakan perkhidmatan yang sama kepada anak Rosiana, Muhammad Shahrul Azim Mohd Rozi, 12, yang mengalami lembam dan layak memohon Mykad berikutan genap usia 12 tahun pada 12 Jun ini.

Dalam pada itu, menurut Mohd Nasir lagi, waris dan saudara terdekat boleh memohon menerusi  JPN Negeri  untuk membolehkan pasukan JPN ke lokasi atau kediaman pemohon yang memerlukan urusan pendaftaran tanpa pemohon hadir ke kaunter JPN berdekatan.

Katanya, proses permohonan itu lazimnya dapat disiapkan dalam tempoh lima hari bekerja dan kad yang siap akan dihantar kepada pemohon.

Menurut Mohd Nasir,  JPN sentiasa membuat penambahbaikan perkhidmatan termasuk turun padang bagi memastikan semua rakyat mendapat akses dan kemudahan yang setaraf walaupun kurang bernasib baik dan uzur.-UTUSAN ONLINE