JPJ dalam kenyataan hari ini berkata, pengurangan kompaun daripada jumlah maksimum RM300 itu ditawarkan secara berperingkat kepada pemandu kenderaan dan juga penunggang motosikal yang melakukan kesalahan itu.

"Di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang didapati memandu atau menunggang tanpa lesen memandu atau lesen mereka tamat tempoh, boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM300.

"Namun demikian, sekiranya pesalah menjelaskan kompaun dalam tempoh yang ditetapkan, kadar pengurangan bayaran akan ditawarkan kepada mereka," katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi motosikal, jika bayaran dibuat dalam tempoh satu hingga 15 hari, kompaun ditawarkan sebanyak RM100, 16 hingga 30 hari (RM150), 31 hingga 60 hari (RM250).

Bagi lain-lain kenderaan, jika bayaran dibuat dalam tempoh satu hingga 15 hari, kompaun yang ditawarkan adalah sebanyak RM150, 16 hingga 30 hari (RM200), dan 31 hingga 60 hari (RM300).

Pembaharuan lesen memandu yang telah tamat tempoh boleh dibuat di semua pejabat JPJ mahupun agensi yang dilantik tanpa dikenakan kompaun.

Pembaharuan lesen itu hanya tertakluk kepada lesen memandu yang tamat tempoh tidak lebih daripada tiga tahun.

JPJ juga ingin menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sebarang mesej JPJ melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp yang tidak mempunyai sumber sah.

"Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, orang awam dinasihatkan untuk merujuk terus kepada jabatan ini dan tidak turut serta menyebarkan salah faham (berkaitan JPJ)," demikian menurut kenyataan itu. - BERNAMA