Pengarahnya, Shahrul Azhar Mat Dali berkata, sepanjang tawaran itu, orang ramai boleh menikmati pengurangan kadar kompaun sehingga 70 peratus, jumlah tertinggi yang tidak pernah ditawarkan agensi itu sebelum ini.

Katanya, terdapat kes tertentu yang tidak termasuk dalam tawaran itu iaitu melibatkan kes mahkamah, lebih muatan bagi kenderaan berat melebihi lima tan dan warga asing.

“Kalau kesalahan disenarai hitam dan boleh dikompaun, JPJ akan buka semula saman dan menawarkan kompaun. Ini adalah keistimewaan yang diberikan kerajaan untuk membantu rakyat.

“Sehubungan itu, JPJ mengalu-alukan orang ramai supaya segera merebut peluang diberikan ini untuk pengurangan kadar kompaun,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis

Sambutan Hari JPJ Peringkat Negeri Ke-72 di Pejabat JPJ negeri, di Jejawi di sini hari ini.

Menurut Shahrul Azhar, selain pengurangan kadar kompaun, agensi itu juga menawarkan tawaran menarik iaitu inisiatif pemutihan cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang melebihi tiga tahun berbanding sebelum ini, hanya setahun.

Katanya, tawaran itu akan tamat sehingga 30 Jun ini.

Pada majlis tersebut, Shahrul Azhar menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada agensi-agensi media dan individu perseorangan atas jasa dan sumbangan membantu menaikkan imej JPJ.

Sepanjang Sambutan Hari JPJ peringkat negeri, pelbagai program telah dijalankan antaranya latihan menembak bersama ketua-ketua jabatan agensi kerajaan, konvoi, kayuhan amal menyantuni asnaf dan bacaan Yasin. - UTUSAN ONLINE