Pasukan yang berperanan menangani kesalahan serius dan berfokus serta yang memerlukan intervensi dari Ibu Pejabat JPJ itu buat pertama kali mempamerkan kecekapan seni mempertahankan diri mereka pada sambutan tersebut.

Persembahan oleh 26 anggota PTK yang diketuai Penolong Penguat Kuasa JPJ, Mohd. Fazli Mahmud itu merangkumi seni pertahanan tempur tanpa senjata, tindak balas ancaman pistol dan penggunaan senjata 'T-baton'.

Mereka yang baharu sahaja menamatkan latihan asas PTK di Pusat Latihan Pasukan Tindakan Am, Perak itu seterusnya melakukan demonstrasi menyelamat pasukan penguat kuasa JPJ yang diancam oleh kumpulan tonto.

Demonstrasi tersebut bermula dengan sepasukan penguat kuasa JPJ bertindak memberhentikan sebuah lori yang membawa muatan lebih di tepi jalan sebelum diserang hendap oleh sekumpulan tonto.

Serangan berterusan kumpulan tonto itu bagaimanapun berjaya dihalang oleh lapan anggota Pasukan Tindakan JPJ yang tiba di tempat kejadian setelah dihubungi penguat kuasa terbabit.

Dengan tema 'Rakyat Didekati, JPJ Disenangi', sambutan yang amat signifikan kepada jabatan tersebut itu telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Pada majlis yang dirasmikan itu, para hadirin turut berpeluang menyaksikan perbarisan lintas hormat melibatkan sebanyak 1,230 peserta dan 784 kenderaan mewakili pelbagai agensi kerajaan dan swasta, termasuk penyertaan 2,000 ahli Skuad Muda JPJ.