Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik JPJ dalam kenyataannya hari ini berkata JPJ turut kecewa dengan dakwaan palsu terhadap anggotanya yang melaksanakan tugas bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Kenyataan itu menjelaskan, dalam kejadian pada 22 Feb kira-kira 11.15 malam di KM29 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, anggota JPJ yang bertugas melihat sebuah lori menghala ke Johor Bharu dan mengesyaki membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.

"Pasukan JPJ telah mengekori lori tersebut dengan memasang lampu mata arah sebelum mengarahkan kenderaan itu untuk berhenti di bahu jalan ketika berada di lokasi yang dinyatakan.

"Setelah memberhentikan kenderaan, pasukan JPJ membuat pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut namun pemandu lori telah menyorok dan mengunci kesemua pintu lori," katanya.Jelas JPJ, semasa pemeriksaan, anggota pasukan JPJ mendapati ada ruang terbuka di sebelah tingkap kiri bahagian tepi belakang kenderaan lalu menyelak langsir tingkap lori tersebut dan mendapati pemandu berada di dalam.

"Pemandu tersebut enggan memberikan kerjasama apabila diminta untuk diperiksa permit serta dokumen berkaitan dan arahan membawa kenderaan ke Stesen Penguat Kuasa JPJ Ulu Tiram untuk ditimbang," menurut kenyataan itu.

Pemandu tersebut juga menuduh anggota yang terlibat memecahkan cermin lori tersebut sedangkan ia sudah sedia tertanggal dan jatuh ke tanah terlebih dahulu serta tidak pecah.

Jelas kenyataan itu, pasukan JPJ telah pun membuat laporan polis di atas ugutan dibuat oleh pemandu lori tersebut yang berkemungkinan mengancam keselamatan anggota dan anggota keluarga mereka.

Sehubungan itu, JPJ menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang cerita, perkongsian mahupun berita tanpa mendapatkan kepastian daripada sumber yang benar. - BERNAMA