Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau telah menyuarakan permintaan itu kepada Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shahruddin Khalid agar kemalangan serupa dapat dielakkan pada masa akan datang.

Beliau berkata, dalam kes kemalangan berhampiran Terowong Menora, pihak JPJ sebenarnya telah menempatkan anggota penguat kuasa sepanjang masa di kedua-dua arah terowong berkenaan untuk memberi amaran kepada para pemandu bahawa mereka dipantau dan diperhatikan.

"Kemalangan yang kerap berlaku asdalah sesuatu yang amat mendukacitakan dan menyedihkan. Kita mengharapkan satu penguatkuasaan yang lebih ketat dan pemantauan yang lebih kerap," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kementerian Pengangkutan.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Dr. Mohd Fozi Ali; Shaharuddin; Ketua Pengarah MIROS, Dr. Siti Zaharah Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin.

Anthony diminta mengulas banyak kes kemalangan berlaku kebelakangan itu termasuk lori tangki muatan simen merempuh sebuah bas ekspres berhampiran Terowong Menora semalam, mengakibatkan tujuh orang cedera.

Dalam pada itu, Anthony berkata, pihak kementerian akan bekerjasama dengan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) khususnya PLUS untuk memasang lebih banyak kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di kawasan yang kerap berlaku kemalangan termasuk sekitar Terowong Menora.

Beliau berkata, langkah itu adalah untuk memastikan para pemandu diawasi supaya mereka tidak memandu laju melebihi had laju ditetapkan, sehingga terbabit di dalam kemalangan.

"Antara faktor berlaku kemalangan ialah kelajuan, kita nak kurangkan kelajuan di kawasan-kawasan ini. Kita berharap dengan adanya kamera ini, ia dapat mengurangkan kadar kelajuan (pemanduan kenderaan) di sesuatu kawasan itu," katanya. - UTUSAN ONLINE