Pengasas dan Pengarah PIPE, Pat Ibrahim berkata, misi JPBWB2018 ialah satu langkah sinergi yang diambil pihaknya untuk memelihara serta memperkasa seni persembahan, warisan dan budaya kesantunan Melayu yang dimiliki.

"Kami sedar betapa penting dan besarnya langkah yang kami ambil ini kerana teater bangsawan miliki keistimewaannya tersendiri. Bangsawan merupakan permulaan bagi segala yang kita ada dalam dunia hiburan tanah air hari ini.

"Melihat kepada kejayaan pementasan teater bangsawan Dendam Laksamana yang dipentaskan pada penghujung tahun lalu, kami sekali lagi ingin melebarkan sayap keasyikan teater bangsawan ke beberapa bandar di Semenanjung menerusi program JPBWB2018 melibatkan empat komponen iaitu forum, pameran, jualan, bengkel dan persembahan pentas," katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pengumuman Jeyarawara Pekan Bangsawan Warisan Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kebudayaan dan Kesenian JKKN, Datuk Mod Zaky Din; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengembangan Seni Budaya JKKN, Shahrizal Abdan dan Pegawai Kebudayaan Unit Acara Pusat Pelancongan Malaysia, Harliana Shamsuddin.

Dalam pada itu, Mod Zaky berkata, JPBWB2018 merupakan satu konsep baharu yang amat bagus ke arah satu lagi lonjakan peningkatan kemajuan kesenian dan budaya.

"Seni bangsawan ini tidak hanya perlu dihayati dan dinikmati masyarakat di kota metropolitan sahaja, sebaliknya ia perlu dibawa ke seluruh negara menerusi jelajah jeyarawara seperti ini.

"Idea ini sangat baik dan justifikasinya adalah merupakan satu disentralisasikan budaya yang membawa seni dekat dengan masyarakat sekali gus mampu mewujudkan kesedaran serta peningkatan minat dan penyertaan dalam kalangan generasi muda masa," katanya.

Program JPBWB2018 yang bakal bermula Jun depan, bakal menjelajah lapan negeri iaitu Johor, Melaka, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan berakhir di Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE