Presiden Kemudi, Azran Fitri Ab. Rahim berkata, program santai yang bermula pada pukul 4 petang itu membuka ruang kepada peminat untuk bertemu dan beramah mesra dengan teraju utama drama itu iaitu Sabri Yunus.

Menurutnya, objektif utama penganjuran program tersebut bertujuan untuk mengangkat dan memartabatkan lagi budaya serta cara hidup orang Kelantan.

“Melalui program itu juga kita mahu mencungkil lebih banyak perkara-perkara tersirat dan tersurat dalam drama berkenaan untuk dikongsi bersama peminat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Hotel GRV di sini hari ini.

Azran Fitri memberitahu, penganjuran program itu turut mendapat kerjasama daripada rakan strategik Kemudi iaitu GRV selain syarikat Purity Petroil Resources Sdn Bhd serta Jelira Marketing.

Katanya, peminat yang hadir pada program tersebut akan diberi peluang untuk mengajukan soalan secara terus kepada Pok Ya Cong Codei.

“Pok Ya Cong Codei (Sabri) sendiri akan mengupas dengan lebih terperinci mengenai telemovie itu.

“Kita hanya kenakan bayaran RM50 kepada mereka yang hadir pada majlis tersebut,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat untuk menyertainya, boleh menghubungi wakil penganjur, Abe Ya di talian 018-9009259 untuk sebarang maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE

YATIMIN ABDULLAH