All-New Civic Type R baharu yang  lebih agresif, dinamik dan sporty itu dijual pada harga RM320,000 tidak termasuk insurans dan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Bertemakan anda boleh menikmati dari litar lumba ke bandar, rekabentuk kereta berkenaan yang menggunakan teknologi terkini itu bersesuaian dengan pemandu muda dan dewasa yang gemarkan sesuatu yang baharu.

All-New Civic Type R menggunakan enjin 2.0 liter VTEC pengecas turbo itu menghamburkan kuasa 310PS dan tork maksimum 400Nm. Ia kemudian digabungkan dengan transmisi manual 6-kelajuan.

Kereta sport itu menghasilkan transmisi manual yang mampu menukar gear dengan tepat. Hot hatch itu dipadankan dengan tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Sport dan +R.

Ketiga-tiga mod tersebut akan menala bahagian Adaptive Damper System (ADS), Drive-by- Wire throttle (DBW), Electronic Power Steering (EPS), Vehicle Stability Assist (VSA), kawalan traksi dan sistem brek. Setiap mod pemanduan menawarkan kestabilan pengendalian dan pemanduan.

Selain lampu depan dengan ciri LED berbentuk tajam, lampu berhentinya juga direka elegan dan futuristik dengan padanan ciri LED. Bahkan gabungan spoiler sporty mengukuhkan kesan hot hatch yang lebih elegan.

Apa yang menariknya,The All-New Civic Type R itu diiktiraf sebagai kenderaan pacuan roda depan (FWD) terpantas dunia dengan catatan rekod 7 minit 43.90 saat di Litar Nurburgring, Jerman.

Kejayaan tersebut dicapai hasil penggunaan teknologi terkini dan pembaharuan signifikan antaranya penambahbaikan bahagian aerodinamik yang menawarkan prestasi dan kestabilan lebih baik.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Ishiyama berkata, pihaknya mensasarkan untuk menjual 30 unit setiap bulan.

"Setakat ini kita sudah menerima tempahan 60 unit The All-New Civic Type R. yang akan diedarkan bermula minggu depan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran The All-New Civic Type R. di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE