Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sektor pertanian umpamanya adalah bidang yang tidak pernah lapuk ekoran permintaan dan penggunaan produk daripada sumber itu adalah sesuatu yang tidak pernah berhenti atau berkurangan.

Menurutnya, golongan petani akan terus dibantu bagi meningkatkan hasil pengeluaran mereka termasuk penubuhan bank benih yang bertujuan menggalakkan penggunaan benih atau baka berkualiti dan terjamin.

“Dalam usaha kita nak memajukan ekonomi Johor, kita tak akan tinggalkan ekonomi tradisional. Ini janji kerajaan negeri memandangkan kesedaran ke atas sumber kekayaan baharu berasaskan pertanian adalah penting.

“Bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta untuk melakukan pelbagai inisiatif yang berkaitan,” katanya semasa merasmikan Karnival Muafakat Tani dan Majlis Pelancaran Bank Benih Negeri 2018 di Dataran Muafakat Bukit Kepong, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pegawai Daerah, On Jabbar dan Pengarah Pertanian negeri, Ahmad Kamil Yunus.

Mohamed Khaled berkata, Johor pada tahun lalu merupakan pengeluar buah-buahan terbesar negara dengan keluasan tanaman 41,440 hektar dan jumlah pengeluaran sebanyak 532,249 tan metrik.

Justeru, menerusi peruntukan berkenaan, proses pensijilan bagi mengiktiraf pengusaha benih atau tapak semaian akan dilakukan bagi mengetahui tahap ke­upayaan dan kepakaran mereka.

“Usaha ini akan memberikan kredibiliti dan nama baik kepada mereka, sekali gus membantu meyakinkan masyarakat luar de­ngan kualiti perkhidmatan serta produk masing-masing,” katanya.