Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, tiga segmen tersebut adalah bioindustri, biokesihatan dan bioagro.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Ne­geri Johor (J-Biotech) telah ditugaskan untuk melaksanakan pembangunan sektor ber­kenaan.

“Kita akan rangka dan bangunkan ketiga-tiga segmen bioteknologi tersebut bagi menarik lebih ba­nyak pelaburan ke negeri ini pada masa depan, sekali gus akan memba­ngunkan ekonomi di negeri ini dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, terdapat beberapa kawasan di ne­geri ini yang berpotensi untuk digunakan bagi pembangunan sektor bioteknologi termasuk di Skudai yang mempunyai fasiliti selain lokasi yang strategik.

J-Biotech juga akan bekerjasama dengan institusi pe­ngajian tinggi dalam pemba­ngunan modal insan bagi memenuhi te­­naga kerja mahir dalam sektor ber­kenaan, katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) akan membuka ki­lang bio pertama di dunia yang akan beroperasi di Iskandar Puteri dalam kawasan Iskandar Malaysia.