Pengiktirafan tersebut dizahirkan menerusi pemberian elaun sara hidup berjumlah RM512 sebulan, menambah kepada elaun RM900 sebulan diperuntukan kerajaan Pusat, menjadikan keseluruhan elaun guru KAFA di negeri ini seba­nyak RM1,412 sebulan.

Seorang guru KAFA, Norahida Ahmad, 35, amat bersyukur dengan pertambahan elaun di­terima guru-guru KAFA di Johor daripada pihak kerajaan negeri sebanyak RM512 sebulan.

“Pemberian elaun daripada kerajaan negeri itu amat membantu kami dalam meringankan beban sara hidup, lebih-lebih lagi buat guru-guru KAFA yang sudah mendirikan rumah tangga.

“Selain pemberian elaun daripada kerajaan negeri, saya berharap guru-guru KAFA akan diserap menjadi kakitangan kerajaan tetap dan bukan lagi kakitangan sambilan sekali gus mendapat manfaat sama se­perti kakitangan kerajaan tetap,” katanya ditemui hari ini yang merupakan guru KAFA di Sekolah Agama Taman Universiti, Skudai.

Setakat hari ini, terdapat seramai 1,896 guru KAFA di seluruh Johor.

Seorang lagi guru KAFA, Saadah Mohamed, 53, turut melahirkan kesyukuran atas keprihatinan kerajaan negeri ter­hadap nasib guru-guru KAFA dari seluruh negeri.

“Alhamdulillah, kami bersyukur atas imbuhan diberi kerajaan negeri kerana elaun diberi ini penting dalam membantu kami menjalani kehidupan seharian.

“Harapan kami adalah agar guru-guru KAFA diangkat menjadi kakitangan kerajaan tetap agar dapat menikmati manfaat seperti kakitangan kerajaan lain termasuk kemudahan kesihatan di hospital kerajaan,” katanya.