Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan awal sebanyak RM20 juta akan disediakan bagi membiayai latihan kemahiran tambahan yang bernilai tidak melebihi RM2,000 secara percuma kepada 10,000 peminjam terawal di dalam program tersebut.

"PTPTN akan menyediakan portal JobMatchingPTPTN untuk peminjam membuat permohonan jawatan kosong yang disediakan. Selepas itu padanan antara kelayakan akademik, pengalaman dan minat peminjam dengan jawatan kosong akan dibuat sebelum mengatur temuduga antara peminjam dengan majikan yang melepasi saringan pertama dilakukan.

"Mereka yang berjaya sepenuhnya akan terus ditawarkan pekerjaan sementara mereka yang memerlukan kemahiran tambahan akan ditawarkan secara bersyarat, iaitu melalui latihan kemahiran tambahan yang disediakan," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Sambutan 20 tahun PTPTN di Pusat Konvensyen Sime Darby, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi PTPTN, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Tambah Ahmad Zahid, bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menaikkan jumlah pinjaman untuk golongan berpendapatan rendah (B40) , PTPTN telah memberi kelulusan terhadap kenaikan pinjaman untuk beberapa kursus dengan keboleh pasaran yang tinggi. - UTUSAN ONLINE