Menurut JMM, rundingan itu telah berjaya meyakinkan pihak China untuk memberikan peluang kepada 2,000 usahawan bumiputera dan pengusaha produk halal di Malaysia agar diberikan keutamaan dan insentif yang istimewa di FTZ tersebut.

Antara kandungan persefahaman fasa pertama yang dimeterai oleh kedua-dua pihak ialah menyediakan lokasi di FTZ kepada 300 peniaga bumiputera yang layak serta diberikan peluang sewaan secara percuma selama tempoh dua tahun, segala urusan pendaftaran dipermudahkan, penterjemah bahasa Mandarin disediakan serta peluang untuk membina kilang.

“JMM telah membuat lawatan kerja rasmi ke Lanzhou pada 5 hingga 8 Julai 2015 dengan rombongan itu diketuai oleh Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah. Satu memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai de­ngan Lanzhou City District Comprehensive Free Trade Zone Development Co. Ltd.

“Seterusnya, satu unit Biro Usa­hawan Bumiputera Khas telah ditubuhkan untuk memudahkan segala perancangan serta merupakan penghubung antara semua usahawan yang beroperasi di Lanzhou,” jelas JMM dalam kenya­taan di sini hari ini.

JMM merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik khas sebagai Wakil ASEAN bagi Pusat Hab Halal ke Lanzhou yang merupakan bandar kedua terbesar di barat laut China.

Bandar itu menjadi tumpuan yang menghubungkan wilayah China barat dengan wilayah China timur seterusnya sebagai lokasi utama penghubung ke Eropah.

Sebagai kesinambungan daripada usaha tersebut, JMM akan membawa delegasi yang dike­tuai oleh Datuk Bandar Lanzhou, Niu Xiang Dong ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 10 hingga 15 April ini.

“Dalam lawatan rasmi itu, pelbagai rancangan telah disusun untuk delegasi ini antaranya mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi kerajaan yang berpotensi untuk memper­kenalkan usahawan-usahawan di bawah penyeliaan mereka.

“Usahawan-usahawan yang berminat untuk bersama menjayakan program ini boleh meng­hubungi talian 03-42883365,” kata JMM.