Menerusi Festival Seni Hampir Pupus 2018, semua kesenian hampir pupus yang diwarisi masyarakat dunia sejak ribuan tahun akan dihimpunkan.

Ini meliputi seni dan budaya seperti persembahan teater, tarian, muzik dan kesenian tidak ketara lain yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco).

Menurut wakil organisasi bukan kerajaan (NGO) Pusaka, Pauline Fan, beliau akan bekerjasama dengan JKKN untuk memulihara seni budaya hampir pupus dari seluruh dunia.

Beliau berkata, Festival Seni Hampir Pupus 2018 akan diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur pada 28 September hingga 7 Oktober.

“Kami mencadangkan kepada JKKN terdapat lima atau enam jenis seni budaya untuk diketengahkan dalam festival berkenaan.

“Antaranya seperti Opera Cina, Boneka Cina dan Tarian Saman dari Acheh. Selain itu seni budaya dari Turki juga akan dipamerkan dalam festival itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Serlahan Seni dan Budaya Malaysia 2018 serta buku 60 Tahun Semaraknya Seni Budaya Malaysia.

Dalam pada itu Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli berkata, Pulihara Seni Budaya merupakan salah satu daripada lima teras yang diketengahkan dalam kempen Serlahan Seni dan Budaya Malaysia 2018.

Beliau berkata, JKKN menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bekerjasama dengan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara untuk memperkasakan seni dan budaya.

“Setakat ini, seramai 1,528,405 juta penggiat seni dan orang awam terlibat dalam program-program JKKN.

“Justeru menerusi 10 program baharu seperti [email protected] Lumpur, Jom Belajar!, Festival Seni Hampir Pupus dan Festival Teater Malaysia dilaksanakan akan memberi impak kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya. - UTUSAN ONLINE