Kenderaan tersebut diserahkan oleh Penolong Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan), Datuk Azimah Abdul Hamid kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs dalam satu majlis ringkas di pekarangan Kompleks Kastam negeri, di sini hari ini.

Berangkat sama pada majlis tersebut, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah JKDM negeri, Wan Nor Wan Mamat.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Sementara itu, MAIPs dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis akan menggunakan van tersebut bagi mengambil dan menghantar pesakit buah pinggang yang dikenal pasti bagi mendapatkan rawatan hemodialisis secara berjadual di Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra dan juga Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Melalui pendekatan murni ‘Projek Diraja Perlis’ hasil inisiatif Tuanku Syed Faizuddin Putra itu, para pesakit buah pinggang yang terdiri daripada golongan miskin akan mendapat pembelaan sewajarnya.

Individu yang akan menerima perkhidmatan van itu hanya akan disahkan layak terlebih dahulu oleh satu panel khas yang dianggotai oleh pegawai MAIPs, YTSP Perlis dan pihak HTF sendiri.

Sementara itu, Azimah dalam ucapannya berkata, pemberian kenderaan tersebut adalah sebagai tanda sokongan kepada kerja-kerja Tuanku Syed Faizuddin Putra terhadap rakyat selama ini. - UTUSAN ONLINE