PAUL LOW

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low berkata, jabatan berkenaan diwujudkan untuk menerajui transformasi perubahan bagi pembinaan kapasiti dalam kalangan penjawat awam dan memperkasakan pro­ses-proses dilaksanakan kerajaan.

Katanya lagi, penubuhan jabatan itu adalah berdasarkan keputusan mesyuarat Kabinet pada 28 Julai lalu dan selaras de­ngan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

“Penubuhan JITN ini sedang diteliti oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui perbincangan dengan semua agensi relevan bagi memastikan tiada pertindihan fungsi dan juga untuk menambah baik keberkesanan penggunaan sumber-sumber dan tenaga manusia yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad meminta penubuhan JITN dikaji semula kerana boleh menyebabkan berlaku pertindihan skop kerja dengan agensi-agensi sedia ada termasuk SPRM, Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

JITN yang merupakan penaik­tarafan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai sebuah jabatan penuh telah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet pada bulan lalu.

Menurut Paul, inisiatif transformasi yang akan dipacu JITN akan memerlukan agensi-agensi penguat kuasa termasuk SPRM untuk memantapkan lagi fokus dan fungsi utama yang dipertanggungjawabkan.

Katanya, perkara tersebut antaranya memastikan penyalahgunaan kuasa dan rasuah disiasat secara mendalam di samping memastikan pertuduhan yang berkesan dilaksanakan supaya kejayaan pendakwaan dicapai.

“Tambahan pula, JITN akan menjadi agensi yang akan membantu dalam libat urus kerajaan dengan masyarakat.

“Di mana perlu, JITN akan menjalin hubungan kerjasama dengan pihak termasuk dewan atau pertubuhan perniagaan bagi menambah baik tadbir urus dan hak asas manusia dalam sektor bukan kerajaan,” katanya.