Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking berkata, dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu, Dr. Mahathir menjelaskan bahawa kedudukan kewangan Malaysia sekarang tidak mampu untuk meneruskan projek berkenaan menyebabkan keputusan itu dibuat.

“Perdana Menteri telah memberi penjelasan dengan cukup baik kepada Jinping, saya berada di situ dan mendengar semuanya, mereka faham situasi kewangan Malaysia.

“Jinping melalui jurubahasanya berkata mereka sangat memahaminya dan Dr. Mahathir menjelaskan lebih lanjut projek itu terlalu berat untuk dilaksanakan, maka dihentikan dan akan dilihat kembali selepas kedudukan kewangan Malaysia semakin kukuh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama pegawai-pegawai kementeriannya melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Menurut Darell, dakwaan di media sosial bahawa rombongan Dr. Mahathir ke China baru-baru ini merupakan satu kegagalan adalah tidak tepat sama sekali.

“Dr. Mahathir sudah jelaskan Malaysia juga mahu perdagangan terbuka dan juga perdagangan yang adil maksudnya kalau satu ekonomi besar masuk ke Malaysia dan mengenakan syarat tidak adil itu sudah tidak betul.

“Sebab itu mesti ada perdagangan yang adil maksudnya bila buat projek dengan syarikat luar negara, kalau syarat yang ditetapkan terlalu ketat, kita tidak sepatutnya bersetuju, inilah yang Dr. Mahathir kata kenapa kontrak ini dijalankan sedangkan rundingan itu tidak betul,” katanya. - UTUSAN ONLINE