Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata, selain Jin Wei, seorang lagi anak negeri ini yang dipertimbangkan untuk menerima skim tersebut ialah Amirul Hamizan Azahar.

Katanya, Amirul Hamizan turut mengharumkan nama negara pada kejohanan yang sama dengan merangkul emas acara hoki berpasukan selepas menundukkan India pada aksi final, kelmarin.

“Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan kedua-dua atlet ini kerana berjaya melakar sejarah baharu bukan sahaja untuk Malaysia, tapi juga Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, tarikh dan amaun (yang akan diterima kedua-dua atlet) belum ditetapkan dan akan diumum tidak lama lagi," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selain Jin Wei, hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah ibunya, Loh Bee Sim; Presiden Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBA), Kah Kau Kiak dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) negeri, Frederick Tan.

Jin Wei, 18, yang juga bekas juara remaja dunia 2015 dalam pada itu berterima kasih dengan sambutan dan sokongan yang diberikan oleh kerajaan negeri terhadap kejayaannya pada temasya berkenaan.

Anak kelahiran Bukit Mertajam yang kini menduduki ranking ke-27 dunia bagi kategori perseorangan wanita itu turut berikrar untuk bekerja dengan lebih keras bagi meraih lebih banyak kejayaan pada masa depan.

"Seperti yang saya pernah beritahu sebelum ini, Sukan Olimpik Tokyo (2020) adalah impian saya dan saya akan terus berusaha ke arah itu," katanya yang juga anak bongsu daripada dua beradik.

Sebelum ini, dua jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan Chan Peng Soon yang juga anak kelahiran Pulau Pinang turut menerima ganjaran di bawah Skimas atas kejayaan memenangi pingat pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April lalu. – UTUSAN ONLINE