Ujang berkata, idea untuk penghasilan sequel berkenaan sudah digarap kira-kira 50 peratus dengan plot penceritaan yang segar tanpa diadaptasi daripada mana-mana novel karyanya.

Katanya, terdapat beberapa babak yang sengaja digantungkan dalam filem sulung bagi dikembangkan ke bahagian kedua terutama lanjutan watak Tok Ngah Sudin serta karakter lain.

"Saya ada menerima tawaran daripada pelabur yang berminat untuk menyambung Jibam, tetapi rasanya lebih elok kita tunggu maklumbalas penonton macam mana, kemudian barulah kita fikirkan tentang sequel.

"Kalau mereka suka dengan Jibam maknanya ada harapan untuk Jibam 2 menyusul namun, jika persembahan kita terlalu banyak yang tidak boleh difahami jadi mungkin tidak akan buat lagi sebab modal untuk membuat filem adalah besar," katanya kepada Utusan Online, di sini baru-baru ini.

Jibam yang diadaptasi menerusi novel karya Ujang dilakonkan oleh Mohd. Ariff Abdullah sebagai Jibam di samping Syafie Naswip, Bohari Ibrahim, Farah Ahmad, Esma Daniel, Fadlan Hadzim, Kamarool Yusof serta ramai lagi.

Sementara itu, lagenda dalam dunia kartunis tanah air ini berharap Jibam yang diterbitkan produksi, Spektra Selasih Sdn. Bhd. mampu mendapat sambutan hebat dan mengikut jejak langkah Tombiruo, filem adaptasi karya novelis Ramlee Awang Murshid.

Katanya, aura lakonan Mohd. Ariff yang sebelum ini cukup dikenali ramai sebagai Buntat dalam drama 7 Hari Mencintaiku serta Farah diyakini mampu memberi nilai tambah untuk menarik penonton ke pawagan di samping kekuatan utama yang terletak pada novel berkenaan.

"Lebih kurang 70 hingga 80 peratus daripada isi kandungan filem ini mengikut apa yang kita mahu ia divisualkan. Banyak adegan dalam novel ada pada filem.

"Walaupun cerita lama tetapi apa yang dipaparkan masih wujud dalam masyarakat hari ini misalnya, pergaduhan di kedai kopi, perebutan tanah dan sikap anak yang tidak mempedulikan ibu bapa, jadi bagi saya kisah Jibam adalah evergreen dan relevan sampai bila-bila," katanya. - UTUSAN ONLINE