Memetik portal South China Morning Post, sumber memberi­tahu, pihak berkuasa Hong Kong dan Macau bekerjasama memburu Jho Low yang dikaitkan dengan skandal syarikat tersebut dan dikatakan bersembunyi di wilayah bekas jajahan Portugis itu.

Menurut sumber keselamatan di Macau yang memberitahu portal tersebut, ahli perniagaan itu memilih wilayah berkenaan sebagai tempat perlindungan susulan perintah ektradisi yang dikeluarkan kerajaan Malaysia.

“Khabar angin mengenai Jho Low berada di Macau tersebar sejak lebih sebulan lalu dan berita itu ada logiknya kerana walaupun Malaysia hanya mempunyai Perjanjian Bantuan Guaman Bersama (MLA) dengan Hong Kong tetapi tidak dengan Macau.

“Bagaimanapun, beliau tidak boleh menetap di Macau mele­bihi 30 hari dan jika didapati keluar masuk ke wilayah itu berulang kali, pihak berkuasa akan menghalangnya menerusi kemasukan kali ketiga,” kata sumber tersebut.

Jelas sumber itu, tempoh maksimum untuk berada di Macau hanyalah tujuh minggu tetapi berdasarkan laporan menyatakan Jho Low berada di wilayah tersebut sejak sekian lama dan tempoh terbabit semestinya telah berakhir.

“Beliau tidak boleh berada di Macau kecuali memohon suaka kepada pemerintah wilayah tersebut,” katanya.

Dalam pada itu pihak berkuasa Imigresen Macau sehingga kini belum memberi maklum balas tentang permohonan suaka yang dibuat oleh ahli perniagaan tersebut.

Pada 4 Julai lalu, Jabatan Imigresen membatalkan pasport antarabangsa Jho Low berkuat kuasa 15 Jun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, keputusan itu diambil setelah mendapat permohonan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull terhadap Jho Low yang disiasat berhubung skandal kes 1MDB.