Penghijrahan itu dibuat ketika polis di seluruh wilayah Indonesia mendakwa sekurang-kurangnya 107 individu kerana dipercayai me­ngakibatkan kebakaran hutan di seluruh republik ini yang menjejaskan negara jiran, Malaysia dan Singapura.

Kebanyakan mereka menggunakan pengangkutan darat sama ada menghala utara ke Medan atau ke Padang di barat bagi mengelak jere­bu tebal yang menjadikan rumah mereka sukar untuk didiami lagi akibat kebakaran hutan di wilayah Riau, Jambi, dan Sumatera Selatan.

Malah, jarak penglihatan berku­rangan antara 100 hingga 200 meter petang semalam, sementara jarak penglihatan di Dumai dan Pelalawan pula merosot kepada hanya 50 meter.

Menurut Agensi Pengurusan Ben­cana Nasional Indonesia (BNPB) sebagaimana lapor portal Jakarta Post, terdapat 1,143 titik panas di Sumatera setakat pukul 5 pagi, semalam.

Jumlah itu termasuk 724 titik panas di Sumatera Selatan, Jambi (234), Riau (78), Lampung (69), Sumatera Barat (25), dan Bengkulu (13).

Selain itu terdapat 266 titik panas dikesan di Kalimantan.

Dalam pada itu, seorang penduduk Pekanbaru, Benny Sukma memberitahu, dia terpaksa berpin­dah ke Sumatera Barat dengan meng­gunakan kereta semalam selepas jerebu mencapai paras bahaya.

Tindakan itu terpaksa dibuat mes­kipun terdapat usaha dari pa­sukan perkhidmatan kecemasan Indonesia untuk memadam kebakaran menerusi udara selepas operasi memadam kebakaran di darat, gagal.

“Jerebu telah masuk ke dalam ruang rumah kami sejak tiga hari lalu dan keadaan bertambah buruk. Malah, kami turut memakai topeng muka ketika berada di dalam rumah,’’ kata Benny yang juga seorang pensyarah universiti.

Sementara itu, jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, jumlah besar titik panas itu adalah bukti bahawa pembakaran haram tanah gambut terus berlaku di sebalik penguatkuasaan kerajaan.