A. BALASUBRAMANIAM

Timbalan Setiausaha Agung MTUC, A. Balasubramaniam berkata, ini adalah satu cara untuk mengurangkan kesukaran yang dihadapi pekerja berikutan cuaca berjerebu yang semakin buruk.

“Majikan di sektor swasta perlu berlembut untuk memberikan cuti tanpa rekod untuk pekerja mereka apabila keadaan jerebu semakin buruk.

“Majikan juga sepatutnya memberikan topeng muka percuma untuk pekerja mereka yang terjejas disebabkan jerebu dan memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti luar,” katanya kepada Bernama.

Balasubramaniam berkata, walaupun kebanyakan pekerja sektor swasta bergantung kepada ihsan majikan mereka untuk mendapat cuti tanpa rekod, ia menjadi tanggungjawab sosial majikan untuk menjaga kebajikan pekerja mereka dan menyediakan bantuan yang diperlukan, termasuk cuti tanpa rekod semasa cuaca berjerebu.

“Kami berharap majikan tidak akan mengambil tindakan yang drastik terhadap pekerja yang tidak dapat datang bekerja semasa tempoh kritikal ini,” katanya.

Dalam isu lain, Balasubramaniam menggesa kerajaan untuk mendidik orang awam mengenai kesan pembakaran terbuka secara haram kerana ia akan menjejaskan kesihatan pekerja jika tidak dipantau.

Beliau berkata, kesatuan pekerja juga mengenal pasti pembakaran terbuka di tapak pembinaan dan kawasan industri juga memberi kesan kepada kesihatan pekerja selain daripada menyumbang kepada masalah alam sekitar seperti jerebu. – BERNAMA