Pakar kajicuaca, Gary Pedrico berkata, jerebu tebal melanda bandar Davao, Cagayan de Oro dan General Santos sejak Sabtu lalu.

Menurut Pedrico, peralihan angin akibat Taufan Koppu membadai negara ini sejak 18 Oktober lalu menyebabkan jerebu bergerak perlahan-lahan dari Indonesia ke utara Filipina.

“Bagaimanapun, setakat ini jerebu tebal tidak menyebabkan risiko kesihatan.

“Jerebu tebal ini juga berlaku disebabkan pencemaran sedia ada,” katanya ketika di temuramah Philippine Daily Inquirer, semalam.

Sementara itu, jerebu kembali melanda wilayah Songkhla di selatan Thailand tetapi tidak seteruk sebelum ini.

Pihak berkuasa Thailand berkata, bandar Hat Yai yang paling terjejas terutamanya di kawasan Gunung Kho Hong dan meliputi keseluruhan bandar itu.

Menurut Pengarah Alam Sekitar Wilayah, Phayao Muangngam, jerebu itu dijangka pulih dalam beberapa hari lagi kerana bacaan tersebut tidak setinggi sebelum ini.

Sementara itu, India turut berdepan krisis jerebu berikutan pembakaran terbuka secara haram di negara itu dan dijangka menjadi lebih teruk pada pertengahan November ini.

Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Anand Vihar, Punjabi Bagh dan RK Puram dengan kualiti udara di Mandir Marg, New Delhi berada pada paras bahaya.