Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, kebakaran terbuka di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia telah mengakibatkan pencemaran je­rebu merentasi sempadan berlaku terutama di utara Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

“Jerebu yang berlaku ketika ini adalah ekoran tiupan angin monsun barat daya yang sedang berlaku dan dijangka sekurang-kurangnya sehingga hujung bulan ini.

“Kejadian ini akan dikurangkan selepas monsun ini iaitu penghujung bulan depan apabila berlakunya peralihan monsun,” katanya menerusi rakaman video di akaun Facebook miliknya semalam.

Bee Yin berkata, kerajaan menerusi pelbagai agensi dan jabatan mengambil langkah bersiap sedia bagi mengelakkan berlakunya kebakaran terbuka di dalam negara sambil berharap kerajaan Indonesia dapat mengambil langkah sama dalam memastikan kebakaran terbuka tidak terus berlaku di negara tersebut.

Sementara itu, setakat pukul 5 petang hari ini, kawasan Johan Setia, Klang dan Banting, Selangor mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu pada tahap bacaan 119 dan 106 dipe­ngaruhi kebakaran tanah gambut di Kampung Johan Setia, Jalan Kebun, Klang, kelmarin.

Menerusi laman sesawang, Sistem Pengurusan Indeks Pen­cemaran Udara (APIMS), bebe­rapa kawasan lain seperti di Mukah, Sarawak; Kangar, Perlis; Alor Setar, Kedah dan Seberang Jaya,Pulau Pinang yang mencatatkan IPU tidak sihat semalam mula beransur pulih dan mencatatkan bacaan IPU baik dan sederhana.

Sementara itu, menurutnya, ekoran rancangan pembenihan awan terpaksa dibatalkan langkah telah diambil dengan membekalkan air bagi memadamkan kebakaran yang berlaku di Johan Setia.

“Ekoran rancangan pembenihan awan mungkin tidak dapat dibuat kerana cuaca kering, langkah diambil dengan menghantar air dari luar ke kawasan terlibat dan mengepam air ke dalam kolam yang telah dikorek.

“Kami meminjam 10 tangki air pihak Air Selangor dan enam lagi pihak berkuasa tempatan bagi berulang alik membawa air ke tempat kejadian bagi memastikan jumlah air sentiasa mencukupi untuk memadamkan kebakaran tersebut.

“Namun begitu, ekoran kawasan kebakaran luas terdapat masalah yang mana lori tangki air tersebut tidak mampu memasuki kawasan lebih jauh, jadi langkah diambil dengan mengorek tiga kolam dan seterusnya air dipam ke dalam kolam terbabit sebagai bekalan air untuk memadamkan kebakaran,” katanya.