Bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’, program yang bermula pada 28 Julai lalu dan berakhir di Mydin Meru Raya di sini, antara lain menggabungkan konsep one stop centre menerusi komunikasi visual dan bersemuka bersama pengunjung melalui segmen pameran dan aktiviti.

Program yang bertujuan me­nyampaikan informasi kenegaraaan dalam bentuk hiburan bermaklumat dengan rakan strategik, Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi.

Agensi tersebut terdiri daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi kempen digital #YOUCANDUIT.

Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka, Jabatan Pe­nerangan, Mohd. Roffee Mohamad berkata, program itu sewajarnya dicontohi oleh pasar raya lain di seluruh negara dalam usaha merak­yatkan Sambutan Bulan Kebangsaan.

“Biasanya pada bulan kebangsaan, pasar raya akan dihiasi de­ngan bendera serta dianjurkan jualan murah, namun tiada aktiviti seumpama ini, seperti yang digalakkan oleh kerajaan.

“Oleh itu, kita bukan sahaja menyedarkan rakyat supaya sama-sama menghargai nikmat kemerdekaan, malah Mydin sendiri menyambut ulang tahun ke-60 pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadi­ri majlis perasmian penutupan MyMerdeka bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat negeri Perak yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohammad Ziad Moha­med Zainal Abidin di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengurus Wilayah Utara Mydin, Vishnu Varthana dan Pengarah Jabatan Penerangan Perak, Razali Kidam.

Program jerayawara MyMerdeka 2017 yang mula dilancarkan di Mydin Subang Jaya, Selangor, diteruskan penganjurannya di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 11 hingga 13 Ogos lalu sebelum disusuli di Mydin Gong Badak, Terengganu (17-19 Ogos) dan Mydin MITC Ayer Keroh, Mela­ka (8-10 September).

Bagi segmen pameran, ia meliputi kluster bercetak yang memfokuskan kepada transformasi Ma­­laysia sebagai negara berdaulat sementara kluster multimedia me­rangkumkan kejayaan tanah air sejak tahun 1957.

Pelbagai aktiviti turut dianjur menerusi segmen aktiviti kene­garaan seperti sudut karikatur, klinik foto, persembahan artis, pertandingan mewarna kanak-kanak dan layar bestari.

Dalam pada itu, Roffee berkata, pada tahun ini, pihaknya lebih banyak menggarapkan sikap terbuka dalam mendengar segala pandangan rakyat selain me­nyampaikan dasar-dasar kerajaan.

“Ada di beberapa tempat, kita juga membawa Pos Malaysia untuk bersama-sama dengan kita bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Selain itu, kita turut memberi kelainan dengan membuka ruang kepada pemimpin tempatan untuk tampil bersama, berbanding hanya menumpukan kepada aspek sosial pada tahun lalu,” katanya.

Mengenai penganjuran pertan­dingan nyanyian ‘Bintang Patriotik’ yang juga dianjurkan di semua lokasi jerayawara tersebut, Roffee mengakui ia mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Bintang Patriotik ini pada asalnya dianjurkan oleh RTM di peringkat nasional, namun kita bawanya pada setiap lokasi jerayawara kali ini.

“Cadangan kita ialah untuk meletakkan video nyanyian peserta Bintang Patriotik ini di laman YouTube supaya ia boleh ditonton oleh semua pihak. InsyaAllah, pada masa hadapan, kita akan perbesarkan lagi pertandingan ini untuk dibawa ke peringkat nasional,” katanya.

Juara Bintang Patriotik membawa pulang baucar Mydin sebanyak RM500 sementara tempat kedua dan ketiga, masing-masing dianugerahkan baucar sama pada harga RM300 dan RM200.