Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Raudah Taman Guru di sini kira-kira satu kilometer dari rumahnya di Kampung Teluk Mahang.

Pengkebumian Allahyarham dihadiri oleh ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan-kenalan lain.

Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini pada pukul 7.50 petang semalam.

Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan UIAM pada 27 Februari lalu akibat masalah batu karang di saluran hempedu sehingga menyebabkan pelbagai komplikasi.

Beliau berkhidmat selama 31 tahun dalam bidang kewartawanan dan pernah bertugas di Pahang sebelum mengakhiri kerjayanya pada 1994 selaku Ketua Biro Utusan Malaysia Pahang.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Normah Che Muhammad, 70, dan enam anak berusia antara 31 tahun hingga 52 tahun dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada 2017.

Allahyarham juga merupakan penerima Anugerah Khas Jasamu Dikenang pada Majlis Anugerah Media Pahang DRB Hicom 2017 bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa dalam industri media.

Semasa perkhidmatannya sebagai wartawan, Alang bersama Nordin Mohamed menerusi wawancara eksklusif pernah melaporkan kemunculan semula pahlawan Mat Kilau yang ditemukan di daerah ini seperti diterbitkan Utusan Malaysia pada Disember 1969, sekali gus menggemparkan negara. - UTUSAN ONLINE