Menurut sepupu mangsa yang dikenali sebagai Emirza, jenazah Siti Nur Ismawida, 30, telah dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok kira-kira pukul 9.40 pagi ini ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta.

“Sebaik sahaja tiba di KLIA, jenazah akan terus dibawa ke Masjid Ar-Rahimah, Desa Pandan untuk dimandikan serta solatkan.

“Kami sekeluarga mengalu-alukan jika ada yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di masjid berkenaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Sentul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahad lalu, Siti Nur Ismawida dilaporkan terkorban selepas dihempap runtuhan tembok bangunan dalam kejadian gempa bumi yang berlaku kira-kira pukul 5.47 pagi di Lombok Timur, Indonesia.- UTUSAN ONLINE