Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, pengebumian tersebut sepatutnya dilakukan esok selepas solat Jumaat tetapi beliau dimaklumkan terdapat perubahan daripada pihak berkuasa New Zealand.

“Pada awalnya kami dimaklumkan pengebumian selepas solat Jumaat dan solat jenazah di Masjid Al Noor esok, tapi mereka hendak lakukannya cepat.

“Jadi mungkin selepas sejam kami berlepas ke sana, jenazah akan dikebumikan,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini hari ini.

Muhammad Haziq merupakan anak kedua Mohd. Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.

Ketika kejadian pukul 1.40 tengah hari waktu New Zealand itu, Mohd. Tarmizi bersama Muhammad Haziq dan seorang lagi anaknya, Mohd. Haris, 12, menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Mohd Haris terselamat tetapi trauma, manakala Mohd. Tarmizi parah. - UTUSAN ONLINE