Terdahulu, ketibaan pesawat yang membawa jenazah Almarhumah di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kira-kira pukul 11 malam disambut Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan kerabat diraja yang lain.

Yang turut hadir, barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Dalam sidang akhbar yang diadakan pagi tadi, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, jenazah Almarhumah akan disemayamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah sebelum Zohor, siang nanti.

"Sultan Johor, Sultan Ibrahim memperkenankan agar jenazah Almarhumah dimakamkan bersebelahan makam Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil.

"Jenazah Almarhumah akan diusung menaiki pedati khas dari Istana Besar sehingga ke Bukit Mahmoodiah yang ditarik oleh 40 anggota Askar Timbalan Setia Negeri (JMF)," katanya.

Almarhumah mangkat pada pukul 7.55 malam (waktu London) di Hospital King Edward VII, London, 1 Jun lalu. - UTUSAN ONLINE