Allahyarham meninggal dunia pada 3.08 petang semalam akibat sakit tua di rumah anaknya di Sendayan, dekat sini.

Jenazah Allahyarham telah dibawa ke kediamannya di Taman Seri Putih, Rasah.

Terdahulu, jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di surau Kampung Pondok, Rasah sebelum dibawa ke Makam Haji Said.

Mufti Kerajaan Negeri Datuk Mohd. Yusof Ahmad membacakan talkin.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Selamat Paigo adalah di antara kira-kira 300 orang yang hadir.

Mohd. Murtadza, menjadi Mufti Kerajaan Negeri Sembilan selama 22 tahun mulai tahun 1987.

Sementara itu, Mohd. Yusof berkata Allahyarham adalah kenalan lamanya ketika sama-sama menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir dan beliau seorang yang sangat mesra dengan rakan-rakan termasuk dari luar Negeri Sembilan.

"Allahyarham telah lama berkhidmat sebagai Mufti kerajaan Negeri Sembilan dan semasa berkhidmat, beliau bersama-sama dengan saya sebagai anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.

"Walaupun beliau (Allahyarham) telah lama bersara iaitu pada tahun 2008, tapi saya berasa semangatnya masih lagi ada untuk membantu tugasan saya dengan memberi nasihat yang berguna. Pemergian beliau satu kehilangan besar yang sukar dicari ganti," katanya kepada pemberita.

Katanya, Allahyarham banyak memberi sumbangan besar dalam menegakkan syiar Islam di negeri ini dan negara.

"Allahyarham juga seorang yang tidak bertolak-ansur dalam perkara yang berkaitan dengan agama Islam. Kalau perkara itu tidak betul, beliau tetap menyatakan tidak setuju," katanya. - BERNAMA